Mohamad Hassan.
Mohamad Hassan.
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Malaysia dan Perancis menandatangani Surat Setuju Terima (Letter of Acceptance- LOA) bagi radar pertahanan udara jarak jauh Ground Master 400 Alpha (GM400) untuk mengawal sempadan negara di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, LOA itu ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan dan syarikat Thales yang membangunkan sistem radar pertahanan udara berkenaan bersama rakan sejawatnya dari Perancis, Sebastian Lecornu.

Katanya, radar pertahanan udara jarak jauh itu akan menjadi radar utama kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Radar baharu ini bagi menggantikan radar sedia ada yang sudah lama dan rosak manakala radar baharu berkapisiti tinggi itu dapat memberi nilai tambah kepada ATM yang akan diletakkan di Bintulu, Sarawak bagi memastikan sempadan negara sentiasa terkawal dan tidak diceroboh pihak musuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) 2023 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), di sini, hari ini.

Majlis graduasi yang dilaksanakan serentak untuk ketiga-tiga kolej di bawah PUSPAHANAS itu membabitkan 273 Pegawai Angkatan ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara),

Angkatan Tentera Luar Negara serta Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) kementerian dan agensi kerajaan iaitu Kementerian Pertahanan dan Agensi

Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Semalam, Mohamad menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Setuju Terima (LOA) antara Kementerian Pertahanan dan Syarikat Thales Group bagi Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (GM400) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia.

Caption.

PUTRAJAYA 9 DISEMBER 2023.Mohamad (kanan) menyampaikan sijil padaMajlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) 2023 di Pusat PengajianPertahanan Nasional (PUSPAHANAS), di sini hari ini.Foto/NSTP Samadi Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 3:37 PM