Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kerajaan tidak pernah meminggirkan isu penyelarasan pencen dibangkitkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan ia turut dimasukkan dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau meminta veteran ATM bersabar sehingga SSPA baharu diumumkan pada pertengahan tahun depan.

Menurutnya, beliau memahami isu penyelarasan pencen itu sudah berlarutan sekian lama namun perkara itu sedang diteliti oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Beliau meminta pihak yang terbabit supaya bersabar kerana perkara itu sedang dalam proses.

"Sekiranya ada pihak yang tidak berpuashati, itu hak mereka dan terpulang sekiranya untuk dibawa ke mahkamah.

"Bagi pihak kerajaan, penyelarasan pencen ATM ini akan dirangkumkan dalam kajian skim gaji penjawat awam yang sedang diteliti JPA," katanya selepas

menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) tahun 2023 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan berhubung isu penyelarasan pencen baru-baru ini.

Mohamad berkata, apabila penyelarasan gaji penjawat awam dibuat, skim pencen ini akan disemak bersama bagi anggota ATM dan veteran ATM, malah ia tidak dibuat secara berasingan.

Menurutnya, pada masa ini JPA sedang mengenalpasti serta berunding dengan semua pemegang taruh bagi melancarkan semakan SSPA berkenaan.

Katanya, beliau memberi jaminan bahawa sebaik SSPA diumumkan kelak, tidak akan ada pihak yang tertinggal.

"Kementerian telah pun memberikan input kepada JPA bagi melancarkan semakan saraan baharu ini bagi memastikan ia dapat dinikmati oleh semua veteran ATM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 6:10 PM