PROJEK pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan tetap diteruskan sehingga siap. FOTO Arkib NSTP
PROJEK pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan tetap diteruskan sehingga siap. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Putrajaya: Projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan tetap diteruskan sehingga siap.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengulangi komitmen kerajaan untuk menyiapkan projek berkenaan sehingga kapal berkenaan disiapkan.

"Saya akan mendapat taklimat berhubung projek berkenaan dalam masa terdekat daripada pihak berkaitan untuk benar-benar melihat latar belakang isu ini.

"Kita juga mahu memastikan bahawa kapal ini dapat dibina, dan tiada gunanya kita bercakap soal sejarah atau masa lalu tetapi apa yang ingin kita capai.

"Ini penting kerana ia membabitkan aset strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), jadi kita perlu beri fokus untuk menyiapkan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), di sini, hari ini.

Minggu lalu, Mohamad menyatakan akan meneliti isu projek pembinaan LCS sebelum sebarang keputusan diambil.

Ketika diminta mengulas berhubung kebajikan anggota tentera, Mohamad berkata, isu berkenaan perlu penelitian kerana ia membabitkan kemampuan negara.

"Dalam negara bakal menghadapi situasi kegawatan ekonomi, kita perlu memberi fokus mana yang perlu untuk pastikan ia dapat disusun atur dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 1:18 PM