PENDUDUK Gaza berkumpul meminta makanan di depan ibu pejabat UNRWA, semalam. FOTO Motaz Aizaza
PENDUDUK Gaza berkumpul meminta makanan di depan ibu pejabat UNRWA, semalam. FOTO Motaz Aizaza
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza, Palestin kini sedang diancam kebuluran akibat kekurangan makanan dan bekalan asas masuk ke wilayah itu sejak 62 hari 'dibantai' Israel secara berterusan.

Semalam sahaja, ribuan orang terdesak mendapatkan makanan keluar berhimpun di hadapan ibu pejabat Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Deir Al-Balah, tengah Gaza.

Mereka menggesa kerajaan Mesir membuka lintasan Rafah bagi membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan masuk.

Jurugambar Palestin, Motaz Aizaza yang berada berdekatan Deir Al-Balah berkata, ribuan orang cuba mendapatkan makanan di ibu pejabat UNRWA.

"Di hadapan pusat pengedaran UNRWA di tempat tinggal saya, orang ramai berdiri dan menunggu untuk mendapatkan sesuatu untuk dimakan," katanya berkongsi situasi itu di Instagram.

Sementara itu, Ahmed Kouta berkata, penduduk bukan hanya menunggu maut akibat kebuluran malah diancam musim sejuk dan penularan penyakit berjangkit.

"Sudah masuk bulan ketiga (perang), namun semua orang rela melihat kami menderita, kelaparan, beku, kehilangan tempat tinggal dan mati.

"Kebuluran terus mengubah manusia menjadi 'raksasa' dan saya sendiri sudah tiga hari tak dapat makan.

"Musim sejuk juga menyebabkan orang mati kesejukan, malah ruang rumah yang sesak meningkatkan penyebaran jangkitan dan semua orang jatuh sakit," katanya di Instagram.

Ahmed Kouta. FOTO Ahmed Kouta
Ahmed Kouta. FOTO Ahmed Kouta

Katanya, keadaannya semakin tidak terurus kerana terpaksa berpindah randah bagi menyelamatkan diri.

"Sudah masuk dua minggu saya tak mandi.

"Saya melalui hari-hari yang melelahkan apabila siang sibuk mencari bekalan untuk meneruskan kelangsungan dengan bunyi bom sana sini.

"Walaupun mental dan badan sudah semakin sakit dengan semua situasi ini, saya tetap perlu kuat untuk berjuang," katanya.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean dalam satu kenyataan Isnin lalu memaklumkan, Israel memperluaskan sekatan kemasukan bantuan kemanusiaan kepada lebih 65 peratus daripada keseluruhan kawasan semenanjung Gaza sekali gus menjadi 'senjata' baharu rejim itu dalam projek genosid mereka.

Kumpulan hak asasi manusia itu menggesa tindakan pantas antarabangsa untuk mengenakan gencatan senjata di Gaza dan membenarkan semua penduduk mendapat akses mencukupi kepada bantuan bekalan asas seperti bahan api, makanan, air, perubatan dan keperluan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 6:33 PM