KANAK-KANAK Palestin di bangunan yang runtuh susulan serangan Israel di Gaza. FOTO Reuters
KANAK-KANAK Palestin di bangunan yang runtuh susulan serangan Israel di Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Israel sudah menyekat sepenuhnya penghantaran bantuan di utara Gaza, iaitu kawasan dengan risiko kebuluran tertinggi, kata Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Menurut UNRWA, walaupun tragedi yang berlaku ketika ini di bawah pemerhatian pihaknya, pihak berkuasa Israel memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa ia takkan lagi meluluskan sebarang konvoi makanan yang digerakkan oleh UNRWA.

"Ini keterlaluan kerana dengan sengaja menghalang bantuan bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang kebuluran akibat perbuatan manusia," kata Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini menerusi platform X.

Dalam pada itu, Israel belum memberikan maklum balas ketika dihubungi AFP pada Ahad bagi mengulas mengenai kenyataan Lazzarini.

Pengarah Komunikasi UNRWA, Juliette Touma, memberitahu AFP, keputusan itu dimaklumkan dalam pertemuan semalam dengan pegawai tentera Israel.

Touma bagaimanapun berkata, pihak berkuasa Israel tidak memberikan alasan berhubung keputusan itu.

Gaza berdepan krisis kemanusiaan yang teruk akibat perang Israel terhadap Hamas yang bermula hampir enam bulan lalu, susulan serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober lalu.

Serangan udara dan artileri terus dilancarkan ke atas Gaza sejak semalam ketika pemimpin dunia menggesa bantuan diberikan ke wilayah yang dikepung dan semakin diancam kebuluran.

Mereka merayu gencatan senjata disegerakan dan meminta Israel menghentikan rancangan untuk menghantar tenteranya menentang pejuang di bandar Rafah, di selatan Gaza.

Rundingan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan sedang berlaku di Qatar, namun menurut sumber AFP, ketua agensi perisikan Israel dan AS yang terbabit dalam rundingan itu sudah meninggalkan rundingan terbabit.

Semalam, Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas memaklumkan, 84 mangsa terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu, meningkatkan jumlah kematian di wilayah bergolak itu 32,226 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Minggu lalu, penilaian keselamatan makanan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kebuluran dijangka melanda utara Gaza menjelang Mei melainkan ada campur tangan segera.

UNRWA tidak dapat menghantar makanan ke utara sejak 29 Januari dan keputusan terbaharu Israel itu ibarat 'hukuman mati' bagi penduduk Gaza yang amat memerlukan bantuan, kata Touma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 11:10 AM