KANAK-kanak mencari makanan dalam longgokan sampah berhampiran khemah didirikan penduduk Palestin. FOTO AFP
KANAK-kanak mencari makanan dalam longgokan sampah berhampiran khemah didirikan penduduk Palestin. FOTO AFP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tiada bantuan kemanusiaan dihantar masuk ke Rafah yang menjadi kubu terakhir rakyat Palestin berlindungi.

Berjuta rakyat Palestin di Gaza kini ibarat menanti ajal apabila rejim Zionis memperluaskan operasi ketenteraannya ke bandar sejak hampir dua minggu lalu.

Malah, banyak jasad penduduk yang terkorban dalam serangan pencerobohan Israel itu tiada peluang dikebumikan sebaliknya mereput dan dimakan haiwan yang kelaparan.

Jururawat sebuah hospital, Ahmed Kouta mendedahkan, tiada bantuan kemanusiaan dihantar masuk ke Gaza selepas Israel memperluaskan operasi pencerobohan ke bandar Rafah.

"Selepas menceroboh Rafah selama seminggu. Tiada bantuan dihantar, sebaliknya tempat ini semakin rosak dan musnah dan dibakar Israel.

"Anjing dan kucing tidak selapar kami. Haiwan itu akan makan kami selepas Israel bunuh kami," katanya dalam perkongsian di Instagram minggu ini.

Dia merayu kepada pemimpin dunia segera campur tangan menghentikan pencerobohan rejim Zionis.

"Semua orang berfikir ke mana lagi hendak pergi kerana tiada satu tempat pun yang selamat.

"Keadaan semakin teruk dengan sekatan bantuan menyebabkan kebuluran dan kekurangan rawatan yang juga cara paling mudah membunuh penduduk Gaza.

"Selain itu, gelombang haba, tinggal di khemah dan persekitaran yang tidak sihat akan mempercepatkan lagi penyebaran penyakit," katanya.

Hakikat sama diakui seorang lagi penduduk, Azzam yang mendakwa kebanyakan mereka yang meninggal dunia tidak dapat dikebumikan.

"Akhirnya mereka mereput sebelum dimakan anjing dan kucing.

"Saya takut, saya mahu ada kubur jadi orang boleh mendoakan kesejahteraan roh saya," tulisnya dalam ruangan komen di Instagram.

Operasi ketenteraan Israel yang diperluaskan ke Rafah menyebabkan angka korban di Semenanjung Gaza meningkat kepada lebih 35,000 manakala hampir 80,000 orang lagi cedera.

Pada masa, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), menganggarkan, kira-kira 600,000 penduduk melarikan diri tanpa sebarang hala tuju sejak operasi terbaharu, 6 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:16 AM