Penunjuk perasaan berhaluan kanan Israel berkumpul di luar pejabat lapangan UNRWA di Tebing Barat pada 20 Mac lalu, untuk menuntut penutupannya. FOTO AFP
Penunjuk perasaan berhaluan kanan Israel berkumpul di luar pejabat lapangan UNRWA di Tebing Barat pada 20 Mac lalu, untuk menuntut penutupannya. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Israel mencadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membubarkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) kepada entiti baharu dengan alasan bagi membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke Gaza.

The Guardian melaporkan, cadangan itu dibentangkan Ketua Staf Am Israel Lt Jeneral Herzi Halevi dalam perbincangan dengan pegawai PBB di Israel pada awal Mac lalu.

Sumber memberitahu, pegawai ini kemudiannya menyampaikan cadangan itu kepada Setiausaha Agung PBB António Guterres Sabtu lalu.

Cadangan itu memperincikan peralihan 300 hingga 400 kakitangan UNRWA kepada sama ada agensi PBB sedia ada seperti Program Makanan Sedunia (WFP) atau organisasi yang baru ditubuhkan memberi tumpuan kepada pengedaran makanan di Gaza.

Pelan itu juga termasuk pemindahan lebih ramai pekerja dan aset UNRWA, walaupun masih tidak jelas siapa yang akan menguruskan entiti baharu itu atau memastikan keselamatan operasinya.

Pengarah perhubungan luar agensi itu Tamara Alrifai menyatakan kebimbangan, skala terhad entiti baharu yang dicadangkan itu akan menjejaskan pengagihan bantuan berkesan di Gaza dan menekankan infrastruktur luas UNRWA dan keupayaan sumber manusia.

"Ini bukan kritikan terhadap WFP, tetapi secara logiknya jika mereka memulakan pengedaran makanan di Gaza esok, mereka akan menggunakan trak UNRWA dan membawa makanan ke dalam gudang UNRWA dan kemudian mengedarkan makanan di dalam atau sekitar tempat perlindungan UNRWA.

"Jadi mereka akan memerlukan sekurang-kurangnya infrastruktur sama yang kita ada termasuk sumber manusia," katanya kepada The Guardian.

Alrifai berkata, UNRWA setakat ini, organisasi bantuan terbesar di Gaza, menggaji 13,000 orang ketika perang meletus dengan 3,000 daripadanya masih bekerja.

Selain mengagihkan makanan, katanya, agensi itu majikan utama di Gaza, menyediakan pendidikan dan perkhidmatan perubatan kritikal apabila sistem penjagaan kesihatan di kawasan itu runtuh.

"Ia bukan sekadar makanan. Kami mempunyai tujuh pusat penjagaan kesihatan yang kini beroperasi di Gaza, kami memberikan 23,000 perundingan setiap hari dan kami mentadbir 53,000 vaksin sejak perang bermula.

"Jadi dengan sendirinya adalah satu bidang yang tidak boleh ditawarkan agensi lain sekarang.

"Sangat bagus kami memberi tumpuan kepada makanan kerana kebuluran dan kami meningkatkan penggera tentang kekurangan zat makanan, tetapi UNRWA adalah lebih daripada pengagihan makanan," katanya.

Beberapa pegawai PBB melihat rancangan Israel itu sebagai percubaan untuk menggambarkan PBB sebagai tidak bersedia untuk bekerjasama jika berlaku kebuluran di Gaza.

Pegawai di PBB, agensi bantuan lain dan pertubuhan hak asasi manusia melihat cadangan Israel itu sebagai hasil daripada kempen berpanjangan untuk menghapuskan UNRWA.

"Jika kita membenarkan ini, ia adalah cerun yang licin kepada kita diuruskan sepenuhnya Israel dan PBB secara langsung bersubahat dalam menjejaskan UNRWA, yang bukan sahaja penyedia bantuan terbesar tetapi juga kubu terbesar anti-ekstremisme di Gaza," kata seorang pegawai PBB kepada Guardian.

Israel berhujah, pihaknya bersedia untuk memudahkan bantuan besar mengalir ke Gaza, dengan alasan halangan utama adalah kapasiti PBB serta tiada kerjasama Israel dengan UNRWA.

UNRWA, pertubuhan kemanusiaan utama yang beroperasi di wilayah Palestin sejak 1950, tidak terbabit dalam rundingan itu kerana Pasukan Pertahanan Israel (IDF) enggan menanganinya atas dasar dakwaan yang tidak disahkan beberapa kakitangan agensi itu menyertai serangan ke atas Israel, 7 Oktober lalu.

IDF masih belum mengesahkan dakwaan ini, yang menyebabkan penggantungan pembiayaan sebanyak AS$450 juta (RM2.1 bilion) daripada 16 penderma utama.

Pembekuan pembiayaan ini datang pada masa yang kritikal kerana sekatan Israel mendorong 2.3 juta penduduk Gaza ke ambang kebuluran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 2:49 PM