PENDUDUK mahu bulatan dibina semula berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman. (Gambar kiri) Chua Wei Kiat. FOTO Asyraf Hamzah & Arkib NSTP
PENDUDUK mahu bulatan dibina semula berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman. (Gambar kiri) Chua Wei Kiat. FOTO Asyraf Hamzah & Arkib NSTP
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Chua Wei Kiat akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji cadangan pembinaan bulatan di simpang empat jalan utama, Batu Arang, Rawang.

Chua berkata, beliau maklum dan memahami kebimbangan disuarakan penduduk Batu Arang berhubung kejadian kemalangan yang sering berlaku di simpang empat itu.

"Sebelum ini saya sudah memohon JKR memperbaiki infrastruktur di laluan itu supaya mengelak isu kejadian kemalangan.

"JKR sudah melaksanakannya cuma cadangan membina bulatan itu adalah cadangan baharu.

"Jadi, saya akan meminta JKR mengkaji dan meneliti kesesuaian cadangan itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Semalam Harian Metro melaporkan keluhan penduduk Batu Arang mengenai bulatan asal di jalan utama berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di sini, dirobohkan sebelum digantikan dengan simpang empat yang diibaratkan 'simpang maut'.

Penduduk mendakwa kejadian kemalangan kerap berlaku di kawasan itu apatah lagi simpang itu juga digunakan orang luar sebagai jalan pintas.

Ini termasuk pemandu kenderaan berat khususnya dari Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) ke Country Homes, Rawang atau Kuala Selangor.

Chua berkata, beliau juga akan meminta JKR dan pihak berkaitan meneliti cadangan penambahbaikan di laluan itu termasuk pembinaan struktur keselamatan lain seperti bonggol jalan berganda, cermin titik buta atau pemancar cat eye selain menyekat kemasukan lori besar memasuki laluan itu sebagai jalan pintas.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata, isu terbabit bukan di bawah bidang kuasa mereka.

"Simpang utama itu berada di bawah seliaan pihak JKR iaitu di bawah jajaran Jalan Batu Arang (B111).

"Jadi isu bulatan diroboh dan ditukar kepada simpang empat itu perlu rujuk JKR. Begitu juga cadangan penduduk sama ada membina semula bulatan asal itu juga di bawah bidang kuasa JKR," katanya.

Bagaimanapun, setakat ini, usaha Harian Metro mendapatkan maklum balas daripada JKR belum membuahkan hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 7:03 AM