PENDUDUK  Flat PKNS Kampung Baru berdepan masalah meletak kenderaan masing-masing.
PENDUDUK Flat PKNS Kampung Baru berdepan masalah meletak kenderaan masing-masing.
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengkaji kesesuaian mewujudkan petak parkir awam di sekitar Stesen LRT Kampung Baru untuk kemudahan orang awam.

Unit Komunikasi Korporat DBKL memaklumkan, perkara itu akan dipanjangkan ke Jabatan Pengangkutan Bandar DBKL.

"Kita sedia maklum berkaitan masalah kekurangan parkir di kawasan perumahan sekitar Kuala Lumpur.

"Perkara sama turut berlaku di Flat PKNS Kampung Baru yang mana penduduk meletakkan kenderaan di bahu jalan sepanjang Jalan Hassan Salleh berdekatan stesen LRT Kampung Baru sehingga menimbulkan aduan awam daripada penduduk sekitarnya," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Harian Metro melaporkan ribuan penduduk Pangsapuri 17 Tingkat, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini, terpaksa 'berebut' parkir dengan pengunjung yang ke kawasan itu untuk menikmati pelbagai makanan.

Malah, ada antara penduduk terpaksa menunggu hampir sejam untuk tiba di rumah dengan jarak hanya 500 meter kerana ruangan parkir terhad dan 'diambil' pengunjung.

Walaupun sudah tertera papan tanda parkir hanya dibenarkan untuk penduduk yang mempunyai pelekat khas, ada pengunjung tetap berdegil dan mengambil ruangan parkir semata-mata untuk 'mengisi' perut mereka.

Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan sudah dilaksanakan di sekitar lokasi itu dan pemantauan secara berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Berhubung aduan banyak kenderaan parkir di bahu jalan berhampiran pintu gerbang Kampung Baru, DBKL memaklumkan penguatkuasaan di kawasan itu dilakukan secara berkala.

"Berdasarkan statistik tindakan penguatkuasaan sepanjang 2022, sebanyak 201 Notis Kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Kaedah-Kaedah Isyarat Lalulintas (Saiz, Warna dan Jenis) 1959 dikeluarkan terhadap kenderaan yang membuat halangan di bahu jalan sepanjang Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru.

"Bagi Januari hingga April tahun ini, 36 Notis Kesalahan dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) mengesahkan belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung masalah parkir dihadapi penduduk kawasan berkenaan.

PKB memaklumkan, mereka juga tidak menerima sebarang cadangan daripada penduduk untuk menyelesaikan masalah parkir di kawasan itu.

"Kita terbuka dengan sebarang cadangan dan jika terdapat aduan ia akan diteliti demi kesejahteraan semua," katanya.

"Malah, PKB berharap penduduk boleh tampil mengemukakan aduan dan cadangan secara rasmi bagi tujuan penelitian daripada pihak pengurusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 7:00 AM