PENDUDUK mahu bulatan dibina semula berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman. FOTO Asyraf Hamzah
PENDUDUK mahu bulatan dibina semula berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman. FOTO Asyraf Hamzah
Mahaizura Abd Malik

Rawang: Kira-kira 10,000 nyawa penduduk Batu Arang terancam apabila struktur asal bulatan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di sini, dirobohkan sebelum digantikan dengan simpang empat yang diibaratkan 'simpang maut'.

Ia tidak dilengkapi dengan pembinaan infrastruktur keselamatan lain seperti bonggol jalan berganda, cermin titik buta atau pemancar cat eye, sekali gus membahayakan nyawa pengguna jalan utama itu terutama pelajar dan warga emas.

Untuk rekod, simpang itu menghubungkan Pekan Batu Arang dengan perumahan Caledonia OC8, Jalan Simpah Utara, Jalan DPP dan Kampung Melayu Tradisi.

Laluan itu juga digunakan orang luar sebagai jalan pintas terutama pemandu kenderaan berat khususnya dari Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) ke Country Homes, Rawang atau Kuala Selangor.

Penduduk mendakwa struktur asal bulatan itu dirobohkan pada 2008 atas alasan menaik taraf jalan raya terbabit, namun ia dibuat tanpa perbincangan dan persetujuan mereka.

S Arumugam, 70, berkata, struktur bulatan itu sudah wujud sejak dia masih remaja sebelum digantikan dengan simpang empat hingga mengancam keselamatan penduduk termasuk dirinya sendiri.

"Sejak bulatan itu dirobohkan, dua tiga kali juga saya jatuh dan cedera apabila kereta masuk tidak beri laluan dan tidak berhenti, malah saya dengar ada mangsa lain sampai patah kaki tangan.

"Bagi saya, ada baiknya bulatan itu diwujudkan semula macam dulu supaya kenderaan dari mana-mana arah akan lebih berwaspada dan memperlahankan kenderaan masing-masing," katanya.

Bagi Lai Kam Choy 51, pula, sejak tiada bulatan, kemalangan kerap berlaku di simpang itu walaupun penduduk memandu atau menunggang dengan perlahan kerana kebanyakan orang luar kurang menyedari kewujudan simpang itu.

"Kita hari-hari lalu simpang itu memang risau sebab bawa perlahan pun boleh kemalangan terutama pengguna jalan raya dari OC8 perlu melalui satu selekoh yang membuatkan orang tidak perasan dan biasanya tidak sempat brek.

"Lebih risau sekarang banyak lori lalu kawasan sini, jadi kita harap bulatan itu dibina semula demi keselamatan pengguna jalan raya kerana bagi kami masa bulatan itu wujud tiada pun masalah macam sekarang," katanya isteri dan abangnya juga pernah kemalangan di simpang itu.

Sementara itu, Khairull Shahara Ghazali, 46, berkata, pemandu dari luar juga sering memandu laju terutama pada waktu pagi dan tengah hari hingga menyebabkan pelajar atau penduduk jatuh dari basikal atau motosikal akibat dihimpit pemandu kenderaan yang tidak bertanggungjawab.

"Bulatan asal itu diroboh dan digantikan dengan petak kuning di tengah simpang, tetapi macam tiada fungsi kerana pemandu tidak berhenti di luar petak itu menyebabkan kerap berlaku kemalangan.

"Ini menyebabkan semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak menggunakan kereta hingga jalan itu sesak dan sempit sekali gus berisiko kemalangan termasuk ibu saya sendiri cedera dilanggar lari awal tahun ini," katanya.

Katanya, dia sudah menghantar dua kali aduan berhubung isu itu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) namun tiada penyelesaian sehingga kini.

"Jadi kami merayu pihak berkaitan membina semula bulatan pertama itu dengan menambah ciri keselamatan lain yang lebih bersesuaian supaya semua pemandu lebih peka dan dapat memperlahankan kenderaan masing-masing.

"Selain itu, kita harap pemandu lori muatan besar dan panjang juga dihalang terus daripada menggunakan laluan ini sebagai jalan pintas kerana merekalah punca kemalangan kerap berlaku memandangkan jalan di sini berselekoh dan gelap," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 7:01 AM