Tinjauan kesesakan laluan keluar dan masuk ke Saujana Utama melalui Sungai Buloh. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Tinjauan kesesakan laluan keluar dan masuk ke Saujana Utama melalui Sungai Buloh. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Buloh: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sedang memasang lampu isyarat pintar (smart traffic light) membabitkan tiga simpang utama di Saujana Utama dan tiga simpang di Puncak Alam, dekat sini, bagi mengurangkan kesesakan di kawasan terbabit.

Timbalan Setiausaha MPKS, Ahmad Jamzuri Mujaini berkata, ia sedang dilaksanakan di tapak melalui tender yang mengandungi skop penggantian controller convensional kepada smart controller berserta kamera litar tertutup (CCTV) dan sensor radar yang terkini bagi menggantikan sensor konvensional yang mudah rosak.

Menurutnya, tempoh pelaksanaan kerja adalah selama enam bulan dan ia dijangka siap pada Februari 2023.

"Saujana Utama sering menjadi pilihan pengguna jalan raya daripada kawasan lain sebagai jalan pintas ke Persiaran Shorea dan menuju ke Lebuhraya Guthrie.

"Sehubungan itu, projek sambungan jalan dari Persiaran Eco Grandeur ke Persiaran Shorea sedang dilaksanakan dan dijangka dibuka untuk pengguna bermula Mac 2023," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Harian Metro melaporkan penduduk di sekitar Saujana Utama di sini, terpaksa berdepan isu kesesakan lalu lintas yang teruk berikutan kepadatan penduduk di kawasan berkenaan terutama ketika waktu puncak.

Malah, pembukaan laluan baharu di Persiaran Shorea juga dikatakan masih tidak mampu mengurangkan kesesakan di kawasan terbabit, sekali gus memberi kesan fizikal dan emosi kepada penduduk.

Justeru, penduduk mahu pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah yang sudah lama berlarutan itu.

Ahmad Jamzuri berkata, pembinaan jalan itu sedikit sebanyak dapat menyuraikan kesesakan trafik di Saujana Utama yang menghantui penduduk sekitar.

"Sebelum pemasangan sistem smart traffic light, Jabatan Kejuruteraan MPKS sering mengatur tetapan masa daripada semasa ke semasa bagi Simpang Utama, Saujana Utama mengikut keperluan semasa (hari persekolahan, hari cuti dan cuti am, waktu normal dan waktu puncak) susulan aduan yang diterima daripada pihak penduduk," katanya.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke emel Suara Anda, Kami dengar di emel [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 7:01 AM