Pemilik rumah, Bahari Ali, bersama anaknya melihat keadaan rumah mereka musnah terbakar. - Foto NOR FARHANI CHE AD
Pemilik rumah, Bahari Ali, bersama anaknya melihat keadaan rumah mereka musnah terbakar. - Foto NOR FARHANI CHE AD
Nor Farhani Che Ad


Sungai Petani: Lima beranak hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Jalan Pinang Tunggal, Kampung Pokok Asam di sini, terbakar hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian 12 tengah hari itu, tiada sesiapa di rumah dan pemiliknya yang berada di tempat kerja, bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan anaknya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, K Chandran berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.07 tengah hari dan tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

Menurutnya, 14 anggota dari BBP Tikam Batu dan BBP Sungai Petani serta dua jentera serta Pasukan Kecemasan dan Menyelamat (EMRS) terbabit memadam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada lintas pintas.

"Setiba di lokasi, didapati sebuah rumah dua tingkat sedang terbakar 50 peratus dan kebakaran turut merosakkan sebuah kereta dan tiga motosikal.

"Api berjaya dikawal 15 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 3:42 PM