PROJEK jambatan di Kampung Sungai Suloh yang terbengkalai sejak setahun lalu. FOTO ALIAS ABD RANI
PROJEK jambatan di Kampung Sungai Suloh yang terbengkalai sejak setahun lalu. FOTO ALIAS ABD RANI
Alias Abd Rani

Batu Pahat: Beberapa siri mesyuarat sudah dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah ini berhubung isu jambatan Kampung Sungai Suloh.

Projek itu juga dikatakan sudah memasuki fasa akhir pembinaan dan mungkin siap tidak tidak lama lagi.

JPS Daerah Batu Pahat dalam satu kenyataan berkata, jambatan itu di bawah projek menaik taraf Sistem Saliran Mesra Alam Sungai Suloh berikutan kampung yang kerap dilanda banjir.

"Apabila projek ini siap (Sistem Saliran Mesra Alam Sungai Suloh) dan projek menaik taraf Jambatan Sungai Suloh oleh JKR pun siap sepenuhnya, ia mampu mengurangkan risiko banjir di kawasan terbabit," kata kenyataan itu.

Pembinaan jambatan itu didakwa sudah mengambil kira keperluan dan kehendak penduduk kampung.

Namun, Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata, pihaknya akan berjumpa wakil JPS untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini projek itu.

"Kita akan sampaikan keluhan penduduk dan dapatkan penjelasan. Saya juga turun padang melihat projek ini.

"Sebabkan ia terbengkalai, laluan di kawasan sekitarnya sesak terutama ketika waktu persekolahan," katanya.

Onn berkata akan berbincang mengenai keluhan penduduk yang mendakwa jambatan dibina terlalu tinggi, tidak logik dan dakwaan tidak selesaikan masalah banjir.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan penduduk Kampung Sungai Suloh mengenai jambatan yang sudah terbengkalai setahun lalu didakwa dibina agak 'pelik'.

Projek itu sepatutnya siap pada Julai 2022 namun kerja-kerja pembinaannya dihentikan seketika hingga menimbul persoalan serta buah mulut penduduk.


Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 7:02 AM