Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju supaya permohonan baharu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dibuka sepanjang tahun berbanding hanya sekali setahun, bermula bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara amnya, penyasaran semula subsidi dilaksanakan untuk menutup ketirisan dan memastikan bantuan diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

"Kerajaan komited untuk menyalurkan penjimatan daripada penyasaran subsidi dengan menambah peruntukan bantuan tunai kepada rakyat bagi meringankan beban kos sara hidup," katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, seramai sembilan juta orang akan memperoleh manfaatnya dan diharapkan ia dapat meredakan tekanan kepada orang ramai.

Katanya, dari segi jumlah peruntukan, ia dinaikkan daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

"STR dinaikan dari RM8 bilion ke RM10 bilion untuk sembilan juta penduduk. Kadar maksimum bagi keluarga miskin ditingkatkan dari RM3,100 kepada RM3,700.

"Sebab itu saya yakin kalau keluarga termiskin di negara ini boleh dapat RM3,700, ini dengan sendirinya akan memudahkan langkah-langkah untuk menoktahkan kemiskinan tegar," katanya

ORANG ramai berurusan untuk menerima sumbangan tunai menerusi program STR Fasa Dua yang dikeluarkan dari Bank Simpanan Nasional (BSN) di Kajang, April lalu. FOTO Aizuddin Saad
ORANG ramai berurusan untuk menerima sumbangan tunai menerusi program STR Fasa Dua yang dikeluarkan dari Bank Simpanan Nasional (BSN) di Kajang, April lalu. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 8:31 PM