GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kenaikan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM3,700 dan peningkatan jumlah penerima manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI Jumaat lepas disifatkan dapat meringankan beban rakyat seterusnya melegakan golongan B40.

Ini kerana kenaikan kadar STR dan peningkatan jumlah penerima manfaat SARA daripada 200,000 kepada 700,000 penerima STR amat diperlukan dalam situasi rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat.

Di Terengganu, pekerja kantin, Mohd Zul Azmira Zaimah, 46, dari Kampung Gong Pasir di Dungun berkata langkah itu amat tepat pada waktunya sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap beban ditanggung rakyat ketika ini.

"STR amat diperlukan terutama golongan B40 yang mempunyai anak ramai selain terpaksa menanggung kedua ibu bapa yang sudah tua dan uzur.

"Kebergantungan rakyat terhadap STR bukan bermakna rakyat malas berusaha, namun tekanan kos sara hidup yang tidak menentu menyebabkan jurang ekonomi semakin melebar," katanya yang perlu bekerja di kantin sekolah pada pagi dan menjual burger pada malam bagi menambah pendapatan.

Bagi Muhammad Khairil Azwan Mohd Hanafi, 26, dari Kampung Pak Katak, langkah kerajaan menaikkan kadar minimum STR belia daripada RM300 kepada RM500 juga wajar dipuji kerana ia membela nasib golongan muda.

"Ketika ini saya masih menanggung dua adik yang bersekolah dan ibu bapa yang sudah berusia, setiap bulan saya memerlukan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk menguruskan pelbagai jenis perbelanjaan termasuk ubat-ubatan emak yang menderita sakit buah pinggang," katanya.

Pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rozita Muda, 48, dari Kampung Panji Alam pula menyifatkan bantuan SARA sebagai langkah terbaik bagi membantu golongan miskin tegar membeli keperluan asas seperti beras, gula dan minyak masak.

Di Kedah, seorang suri rumah, Aishah Abdul Rahim, 45, berkata walaupun jumlah kenaikan mungkin dilihat kecil, ia sangat membantu beliau sekeluarga dalam membesarkan tiga anak yang masih kecil.

"Dua daripada anak saya bersekolah rendah, banyak belanja diperlukan dan bantuan ini sedikit sebanyak membantu kami menampung kos perbelanjaan. Bagaimanapun dengan keadaan sekarang, kita perlu bijak berbelanja supaya dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Seorang belia, S Kugaaneish, 24, berkata, suasana ekonomi yang mencabar ketika ini bukan hanya memberi kesan kepada keluarga berpendapatan rendah malah golongan belia.

"Saya bekerja, namun dengan gaji yang rendah tidak cukup untuk menampung perbelanjaan… banyak komitmen yang perlu dilunaskan. Sebelum ini STR untuk belia RM350 pun pada saya sangat besar nilainya, banyak membantu dan kali ini dinaikkan kepada RM500, sudah tentu saya bersyukur dan gembira," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani pada Jumaat berkata, kadar maksimum STR pada 2024 dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelum ini manakala kadar minimum STR bagi belia juga meningkat kepada RM500 berbanding RM350 sebelum ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan STR yang memanfaatkan 9 juta penerima, atau 60 peratus penduduk dewasa negara ini meningkat sebanyak RM2 bilion bersamaan 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju meluaskan manfaat SARA daripada 200,000 kepada 700,000 penerima STR selain memanjangkan tempoh bayaran iaitu RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan berbanding hanya enam bulan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 4:45 PM