GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 sebanyak 20 peratus yang akan memanfaatkan 8.4 juta rakyat sebelum sambutan Aidilfitri ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan bantuan bersasar antara RM100 hingga RM650 yang mula disalurkan 3 April ini, ditingkatkan RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lalu.

Katanya, kerajaan menambah peruntukan itu bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah menangani peningkatan kos sara hidup.

"Reformasi ekonomi yang diterajui kerajaan Madani bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.

"Insya-Allah, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,"katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, seramai tiga juta penerima kategori isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 akan menerima RM150 hingga RM650 manakala 0.9 juta penerima isi rumah atas RM2,501 hingga RM5,000 menerima RM100 hingga RM300.

Selain itu, 1.2 juta warga emas tiada pasangan akan menerima RM150 manakala RM100 akan memanfaatkan 3.3 juta penerima bujang.

Penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank pada 3 hingga 9 April.

Bagi mereka yang tiada akaun bank, bayaran secara tunai akan disalurkan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 3 April.

Mulai tahun ini, kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada

bantuan Kerajaan.

Justeru, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima STR sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 3:58 PM