BELANJAWAN 2024 menetapkan pemberian subsidi barangan secara bersasar untuk membantu rakyat meminimumkan kos sara hidup. FOTO Aziah Azmee.
BELANJAWAN 2024 menetapkan pemberian subsidi barangan secara bersasar untuk membantu rakyat meminimumkan kos sara hidup. FOTO Aziah Azmee.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Subsidi dan bantuan kerajaan kepada rakyat dijangka mencecah RM81 bilion dalam Belanjawan 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu sebagai langkah kerajaan mengekalkan harga barang bersubsidi untuk rakyat memerlukan, dalam berdepan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia.

"Sekalipun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup, tetapi hakikatnya subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah pula meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara.

"Malah, subsidi turut dihirup oleh lebih 3.5 juta orang asing, maka mulai tahun depan, kerajaan mengambil pendekatan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan secara berfasa.

"Hasil penjimatan subsidi itu akan meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Bagi memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kawalan harga sementara yang ditetapkan akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas.

Beliau berkata, pengumuman terkait langkah konkrit lanjutan akan diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam tempoh terdekat.

Katanya, ketika ini bekalan ayam dan telur di pasaran mula stabil dan harga semasa berada di bawah harga siling kawalan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta dan pengecualian bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.

"Pada tahun 2022, 10 peratus pelanggan teratas yang gunakan kemudahan elektrik sebenarnya menikmati 50 peratus subsidi. Ini tidak munasabah subsidi untuk orang susah dan rendah tapi 50 peratus pelanggan terendah hanya menikmati 10 peratus subsidi.

"Ini tekad kerajaan untuk menghentikan subsidi kepara golongan orang kaya. Menurut kajian Kementerian Sumber Asli, pendekatan bersasar ini menjimatkan lebih RM4.6 bilion," katanya.

Katanya, pendekatan subsidi bersasar itu memberi isyarat jelas kepada pengguna untuk mempraktikkan kecekapan tenaga dan amalan berjimat dalam penggunaan elektrik seharian termasuk di pejabat kerajaan seluruh negara.

Bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel, Anwar berkata, kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa.

Katanya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan manakala pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi dan dengan pendekatan itu akan mengurangkan ketirisan subsidi serta impak kepada harga barangan untuk rakyat.

"Bagi menjayakan penyasaran semula subsidi, penguatkuasaan harus lebih berkesan terhadap pembeli dan penjual. Hak peniaga mengaut keuntungan yang munasabah tidak dipertikai, tetapi gejala kartel dan pakat harga yang menyebabkan kenaikan harga berlebihan serta tidak terkawal bertentangan dengan prinsip Madani.

Oleh itu, beliau mengingatkan semua pihak dengan tidak menjadikan penyasaran semula subsidi sebagai alasan untuk menaikkan harga dengan semberono kerana kerajaan bertindak menghapuskan amalan parasit melalui langkah kawalan ketat dan menyeluruh oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di samping memperkukuh kapasiti Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dengan peruntukan RM10 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 5:08 PM