DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Arkib NSTP
Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak menunggu siasatan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap representasi yang dikemukakan beliau berhubung 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Justeru itu, Timbalan Perdana Menteri itu bersetuju dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipetik berkata keputusan mahkamah tidak boleh dibahas pada sidang khas Dewan Rakyat esok kerana platform Parlimen tidak boleh ditukar peranan sebagai sebuah mahkamah bagi membincangkan mengenai keputusan mahkamah.

"Saya fikir Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) sendiri sudah keluarkan kenyataan media kelmarin bagi beri maklum balas kepada Majlis Peguam dan beberapa permintaa.

"Penjelasan itu sangat 'crystal clear' (jelas) dan saya fikir pencerahan itu sudah dilakukan sebaiknya. Ini bukan pertama kali DNAA diputuskan oleh mahkamah, malah sebelum ini juga pernah dibuat berdasarkan kepada representasi," katanya selepas merasmikan Program Malaysia Next Reader di Dewan Datuk Lop Hashim, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Perikatan Nasional (PN) untuk mengemukakan usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara menjelaskan mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, esok.

Dalam pada itu, beliau turut memohon Pemuda PN yang akan mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur pada 16 September depan bagi mematuhi proses perundangan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 8:18 PM