Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pasukan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini supaya menghentikan prosiding perbicaraan 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ini akan memberi kesan kepada Timbalan Perdana Menteri itu, supaya dilepas tanpa dibebaskan atas semua pertuduhan (DNAA).

Menurutnya, pendakwaan mengemukakan 11 alasan untuk menghentikan prosiding antaranya dua representasi yang dikemukakan tertuduh menyentuh isu siasatan sebelum, semasa dan selepas Ahmad Zahid dituduh di mahkamah.

Beliau berkata, ia dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.

"Untuk tidak menafikan hak tertuduh (Ahmad Zahid) dan lebih penting lagi, supaya tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku, kami percaya bahawa pertuduhan terhadap tertuduh perlu diberhentikan buat masa ini, tetapi hanya memberikan kesan DNAA kepada tertuduh sehinggalah siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan (DNA).

Prosiding dihentikan sementara Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan berhubung permohonan itu.

Sebelum ini, Ahmad Zahid, 70, menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 11:19 AM