JABATAN Peguam Negara di Putrajaya. FOTO Arkib NSTP
JABATAN Peguam Negara di Putrajaya. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Permohonan Jabatan Peguam Negara untuk melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya, dibuat berdasarkan alasan yang dikemukakan dan diterima oleh mahkamah.

Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan dua perenggan hari ini, memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang membuat keputusan terbabit sudah menyatakan alasan dikemukakan pihak pendakwaan adalah kukuh.

"Merujuk kepada laporan media bahawa tindakan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebagai tidak bermoral, jabatan ini ingin menegaskan bahawa permohonan untuk melepas tanpa membebaskan dibuat kepada mahkamah berdasarkan kepada alasan-alasan yang dikemukakan dan telah pun diterima oleh mahkamah.

"Semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent)," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Peguam Negara menggunakan kuasanya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan bagi menarik balik pertuduhan Ahmad Zahid selepas dipanggil membela diri di mahkamah adalah sesuatu yang tidak bermoral.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Bagaimanapun, keputusan terbabit mengundang kritikan daripada pelbagai pihak yang menuntut supaya Peguam Negara memberi penjelasan terperinci berhubung tindakan itu.

Antaranya, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, menuntut pasukan pendakwaan memberi penjelasan lebih lengkap, jujur dan terbuka berhubung alasan memberhentikan prosiding ke atas Timbalan Perdana Menteri itu.

Gesaan itu turut disuarakan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan yang menyifatkan rakyat perlu diberi penjelasan berhubung tindakan melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid.

Manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bukan sesuatu yang mengejutkan.

Beliau secara sinis berkata, semua harus bersyukur kepada Allah kerana kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan Presiden Umno itu daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 8:03 PM