AHMAD Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Bernama
Suraya Roslan dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata sekiranya pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa akan datang, masa berharga mahkamah dan wang pembayar cukai sudah terbazir begitu sahaja.

"Mahkamah merekodkan bahawa perbicaraan yang bermula pada 18 November 2019 sudah melalui tempoh 77 hari perbicaraan dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan dan 15 saksi pembelaan," kata beliau di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memutuskan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberhentikan semua prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri itu pada peringkat ini kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Beliau yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.

"Beberapa alasan diberikan pendakwaan termasuk terdapat keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan alasan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan buku 'My Story: Justice in The Wilderness' oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

"Oleh kerana siasatan masih dijalankan dan lanjutan daripada respresentasi yang dikemukakan pembelaan, adalah wajar bagi pihak pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti representasi yang membabitkan pihak berkuasa mengambil kenyataan daripada beberapa individu," katanya.

Sequerah turut berpendapat, pihak pendakwaan mengemukakan alasan yang kukuh iaitu untuk mengkaji keterangan saksi selain bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.

Mohd Dusuki sebelum itu menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan supaya Ahmad Zahid dikenakan DNAA bagi semua 47 pertuduhan.

Alasan itu antaranya menyentuh pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam buku memoir tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan pendedahan berkaitan pertuduhan terhadap individu-individu tertentu.

Sequerah berkata, meskipun penubuhan RCI diumumkan oleh Jemaah Menteri itu tiada batas waktu, ia tidak mencadangkan bahawa kes itu mencapai penyudahnya.

Dalam keputusannya, mahkamah turut menolak permohonan pasukan pembelaan supaya Presiden Umno itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.

Sebaik mendengar keputusan itu, Ahmad Zahid yang memakai kot hitam terus memeluk keluarga dan penyokongnya yang hadir mendengar prosiding hari ini.

Ahmad Zahid, 70, didakwa atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana beliau adalah pengasasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 2:44 PM