Mohamad Hassan (berdiri) berucap dalam kempen bertemu pengundi bersama calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat di Taman Cempaka. FOTO OMAR AHMAD
Mohamad Hassan (berdiri) berucap dalam kempen bertemu pengundi bersama calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat di Taman Cempaka. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tiada agenda dan perbincangan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat dalam Majlis Presiden Parti Kerajaan Perpaduan, setakat ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan berkata sekiranya ada pasti ia dibawa ke Majlis Tertinggi parti terlebih dahulu untuk berbincang kesan baik dan buruknya.

Katanya, menyifatkan dakwaan Perikatan Nasional (PN) hanyalah propaganda saat akhir untuk mengacau ganggu pemikiran pengundi.

"Jika dibawa dan dibincangkan, kami tidak akan mengurangkan dominan UMNO. Jika dalam Majlis Presiden, sekiranya ada parti-parti yang tidak setuju kita tidak akan teruskan apa jua cadangan.

"Setakat hari ini belum ada perkara sedemikian yang disebut (persempadanan kawasan pilihan raya) dan dibincangkan. Itu semua tohmahan dan propaganda supaya orang jadi takut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam kempen bertemu pengundi bersama calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat di Taman Cempaka di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, kenyataan Bekas Perdana Menteri itu hanya propaganda jahat yang dicipta pada saat akhir PRK ini.

Katanya percaya dakwaan itu juga dibuat untuk mengganggu pemikiran pengundi supaya tidak mengundi calon Kerajaan Perpaduan.

"Mereka sudah ada pengundi tegar dari PAS dan mahu pastikan pengundi UMNO sama ada tidak keluar mengundi atau tidak mengundi calon kita, jadi dia buat kenyataan seperti itu," katanya.

Kelmarin, Muhyiddin dalam ceramahnya di kawasan Parlimen Pulai menyuarakan kebimbangan kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan persempadanan semula kawasan pilihan raya, jika mereka mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kata Muhyiddin, langkah pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung persempadanan itu hanya boleh dibuat jika Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Muhyiddin turut meminta pengundi Pulai menyekat langkah pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung persempadanan itu dengan memenangkan calon PN di Pulai, Zulkifli Jaafar pada 9 September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 1:42 PM