Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kebimbangan kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan persempadanan semula kawasan pilihan raya, jika mereka mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung persempadanan itu hanya boleh dibuat jika Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Oleh itu katanya, adalah penting bagi pengundi Pulai menyekat langkah pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung persempadanan itu dengan memenangkan calon PN di Pulai, Zulkifli Jaafar pada 9 September nanti.

"Masalah sekarang ini kita berhadapan dengan situasi yang agak sukar, kalau kita bagi kemenangan kepada calon di sebelah sana, maka kerajaan yang ada hari ini mempunyai sejumlah dua pertiga kerusi di Parlimen.

"Kita jangkakan persempadanan semula atau kita sebut gerrymandering ini akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun dalam penggal ini. Namun ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa ada kelulusan Parlimen yang memerlukan undi dua pertiga untuk memastikan pindaan itu dapat dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PN di Kempas, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan calon PN bagi PRK Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

MUHYIDDIN ketika hadir pada Ceramah Perdana di Kempas. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHYIDDIN ketika hadir pada Ceramah Perdana di Kempas. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, dijangkakan kerajaan Perpaduan mungkin menambah kawasan pilihan raya negara ini daripada 222 ketika ini kepada 300 kerusi.

"Di mana kawasan yang dia (kerajaan Perpaduan) nak tambah, mungkin di kawasan bandar-bandar yang mana terdapat kepadatan penduduk. Ini bukan soal isu perkauman, ini realiti geopolitik yang sudah ada di sini dan juga di tempat-tempat lain.

"Ini diistilahkan sebagai gerrymandering, kawasan yang orang tak sokong dia (kerajaan Perpaduan) dia keluarkan, masuk ke tempat lain, dia kumpulkan ke satu tempat.

"Dia hanya ambil orang-orang yang sokong, dan ditambah kerusi-kerusi baharu bagi menjamin kemenangan mereka dalam pilihan raya. Kalau ikutkan keadaan sekarang ini majoriti kawasan bandar akan dilakukan persempadanan semula manakala untuk Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri di utara mungkin tidak ditambah banyak," katanya.

Muhyiddin berkata, pengundi di Pulai boleh menghalang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu jika menyekat majoriti dua pertiga Kerajaan Perpaduan dengan memenangkan calon PN di Parlimen Pulai hujung minggu ini.

"Jika kerajaan Perpaduan cukup majoriti sudah tentulah itu akan dilakukan namun kita pengundi kena fikir kesan dan impak persempadanan semula yang cukup besar ini.

"Sudah tentu kawasan di bandar yang dikuasai pembangkang terutama DAP akan bertambah berganda namun apa akan jadi kepada kita nanti" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 10:03 AM