Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiada isu dalaman membabitkan akar umbi Pakatan Harapan (PH) timbul di sebalik gesaan untuk menyatakan sokongan serta memberi undi kepada calon parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sudah menjadi kelaziman bagi mana-mana parti politik yang membentuk gabungan bersama menggesa ahli mereka memberikan sokongan kepada calon pilihan raya membabitkan blok sama.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH turut yakin penyokong PH tidak berdepan masalah untuk mengundi calon daripada BN pada PRN di enam nanti susulan BN turut menyatakan sokongan yang sama.

"Saya tidak nampak ada masalah dalaman antara PH dan BN untuk kita saling menyokong dan memastikan kemenangan di PRN di enam negeri akan datang, malah saya percaya kita akan dapat bekerjasama dengan baik.

"Sememangnya, itulah disiplin kita apabila mengadakan kesepakatan ini. Kita harap undi daripada penyokong PH dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada BN. Begitu juga calon PH turut mendapat undi daripada ahli BN.

"Saya sudah banyak kali terbabit dalam gabungan seperti ini, bila kepimpinan sudah menetapkan pendirian mereka, ahli-ahli biasanya akan patuh dan dapat mengundi calon yang kita tetapkan," katanya pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pulai, di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

Hari ini pula, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching dilaporkan turut menyeru ahli dan penyokong DAP memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO yang merupakan rakan parti komponen dalam kerajaan perpaduan sempena PRN di enam buah negeri akan datang.

Ditanya mengenai desas-desus berlaku pergaduhan antara Amanah dan BN di negeri Selangor, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menangkis dakwaan itu.

"Jika timbul isu seperti ini, kita harap penyokong parti supaya dapat mengambil maklumat daripada kepimpinan tertinggi parti masing-masing, bukan daripada khabar angin tular," katanya.

SALAHUDDIN ketika sidang media pada Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SALAHUDDIN ketika sidang media pada Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Berita berkaitan:

Pengundi Umno diminta pangkah DAP demi Kerajaan Perpaduan - Ahmad Maslan [METROTV]

Pengundi DAP digesa sokong Umno

'Serahkan pada kami untuk pastikan pengundi Umno sokong komponen Kerajaan Perpaduan' [METROTV]

Agak luar biasa bila Umno suruh ahli sokong DAP - Muhyiddin [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 4:45 PM