Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir Sepetang Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan di Kempas, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir Sepetang Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan di Kempas, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai penting bagi menafikan majoriti dua pertiga kerajaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini penting supaya kerajaan tidak dapat meminda Perlembagaan Persekutuan sewenang-wenangnya.

Katanya, antara kebimbangan PN adalah pindaan Perlembagaan Persekutuan terhadap persempadanan semula kawasan pilihan raya daripada 222 kerusi Parlimen ketika ini menjadi 300 kerusi.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan Perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki dua pertiga kerusi Parlimen iaitu 148 kerusi termasuk Parlimen Pulai.

"Kalau PN menang di Parlimen Pulai pada 9 September ini, ia akan menafikan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, seterusnya memberi kesan besar dalam soal pindaan Perlembagaan.

"Satu yang kita agak gusar ialah soal persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan berlaku dalam tempoh penggal ini.

"Kalau mereka merancang membuat sesuatu tetapi tidak memberi keuntungan kepada pengundi khususnya orang Melayu, maka ia sesuatu yang akan membawa kesan tidak baik kepada masa depan orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sesi dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Johor, di Kempas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Zai Mustapha.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, gerak kerja jentera PN bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, berjalan lancar memasuki minggu kedua kempen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 9:47 PM