MOHAMAD ketika menyampaikan Ceramah Mega Perpaduan Madani di Bandar Uda Utama. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MOHAMAD ketika menyampaikan Ceramah Mega Perpaduan Madani di Bandar Uda Utama. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Datuk Seri Mohamad Sabu menempelak tindakan Tan Sri Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September depan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah mula berfahaman takfiri kerana berkawan dengan Pas.

Takfiri merujuk kepada perbuatan mengkafir dan menyesatkan kumpulan yang tidak sealiran pemikiran dengan sesuatu pihak.

"Saya tak sangka Muhyiddin, orang yang saya hormat, saya jarang sentuh dia tetapi bila dia buat 'fatwa' haram untuk mengundi calon kita (Suhaizan). Saya kata inilah akibat berkawan dengan Pas.

"Dia dah mula masuk fahaman takfiri. Kita kena jaga. Tolonglah masyarakat Malaysia, apa pun perbezaan pandangan, kita jangan 'cop' orang ini terkeluar Islam.

"Orang ini ahli syurga, orang ini ahli neraka. Itu Allah SWT yang menentukan," kata Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Tampoi, di sini, malam tadi.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Pengerusi PH Johor Liew Chin Tong, Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan serta Suhaizan.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mengeluarkan kenyataan haram bagi mereka yang mengundi calon PH, Suhaizan Kayat, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Muhyiddin dilaporkan mendakwa, tindakan tidak mengundi Suhaizan itu perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

"Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (Dun Johor). Jangan bagi satu undi pun.

"Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya berhubung hal ini, tanya ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang," kata Muhyiddin ketika berucap pada Ceramah Perdana PN di Kempas, di sini, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, rakyat Malaysia khususnya umat Islam perlu mengambil contoh daripada kehancuran tujuh negara Islam akibat pertelagahan serta fatwa sesat yang dikeluarkan ketua kaum masing-masing.

Mohamad berkata, negara-negara berkenaan antaranya Afghanistan, Iraq, Syira, serta Somalia.

"Sebab itulah kita kena jaga. Unsur pelampau, unsur fanatik, takfiri, jangan izinkan masuk ke Johor, boleh ke tidak.

"Oleh kerana tak nak izinkan itu, kita kena menangkan (calon PH) di Pulai dan Simpang Jeram," katanya.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, perpaduan yang terbentuk antara parti-parti dalam Kerajaan Persekutuan didakwa menimbulkan kebimbangan kepada PN.

Ini kerana, beliau katanya kemenangan calon PH dan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pulai, Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram dan Pelangai, Pahang boleh mampu menyekat kemaraan gelombang hijau.

"Mereka bimbang sebab kalau perpaduan kita ini berterusan, kita menang di Pulai, Simpang Jeram, Pelangai, insya-Allah gelombang hijau akan berakhir dan tamat di negeri ini.

"Selepas 9 hari bulan (September) nanti kita pula bergerak ke Bentong, Pahang. Kita akan lihat di situ, insya-Allah calon daripada BN (akan diletakkan)," katanya lagi.

PRK Dun Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Kuala Terengganu, Pulai dan Simpang Jeram.

Kerusi Dun Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 12:36 PM