ABDUL Aziz
ABDUL Aziz
HM Digital

Kuala Lumpur: Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman membuktikan usaha suruhanjaya itu selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beliau yakin pihak yang tidak berpuas hati dengan cadangan persempadanan semula selepas draf dipamerkan untuk kali kedua tidak mampu mencabarnya di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha untuk mencabar usul persempadanan semula di mahkamah bagi kawasan pilihan raya di Selangor tindakan sia-sia berikutan keputusan muktamad dibuat di Parlimen dengan majoriti mudah kerana usul itu tidak membabitkan pertambahan kerusi.

Beliau berkata, tindakan SPR bukan berasaskan kepentingan politik, sebaliknya mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan bersandarkan prinsip memudahkan pengundi dan pentadbiran sama ada di peringkat Pejabat Daerah mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Oleh itu, saya yakin apa pun dibawa ke mahkamah, SPR menang kerana perkara yang kita lakukan bukan berasaskan politik.

“Apa yang SPR lakukan ini adalah kehendak Perlembagaan Persekutuan supaya membuat pindaan persempadanan semula dalam masa tertentu antaranya membabitkan pertambahan kerusi, tetapi kali ini SPR tidak membuat usul berkenaan kerana memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan cadangan SPR untuk melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga hakim dilaporkan berkata, tindakan SPR berhubung urusan persempadanan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak dan oleh itu tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, persempadanan semula dilaksanakan SPR sekurang-kurangnya setiap lapan tahun mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang termaktub dalam bidang kuasa SPR.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya, lebih 60 peratus cadangan atau bantahan diterima SPR dalam usaha menambah baik cadangan persempadanan semula.

“Bantahan hanya boleh dilakukan oleh pengundi di kawasan berkenaan berserta asas dan bukti yang kukuh.

“Ada kalanya pengundi membantah secara umum termasuk mempersoalkan kenapa kawasan mengundi ditukar hanya kerana wakil rakyat lama tidak bersetuju sedangkan SPR tiada pertimbangan politik dalam hal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 3:47 AM