MUHYIDDIN ketika berucap pada Sembang Santai di Pangkalan Nelayan Kuala Chenang. FOTO Hamzah Osman
MUHYIDDIN ketika berucap pada Sembang Santai di Pangkalan Nelayan Kuala Chenang. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Perikatan Nasional (PN) mampu menawan tiga negeri baharu dan kekal berkuasa di tiga negeri sedia ada yang ditadbir gabungan parti itu jika 90 peratus pengundi Melayu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Kedudukan semasa adalah 3-3 apabila PN menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memegang tampuk kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan pengalaman pada pilihan raya sebelum ini, kerap kalinya peratusan kaum Melayu yang keluar mengundi masih rendah.

"Pengamatan kita dan rekod mendapati kira-kira 30 peratus pengundi Melayu tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

"Angka 30 peratus itu adalah jumlah undi yang besar dan ia boleh menentukan parti mana menubuhkan kerajaan," katanya ketika berucap pada Sembang Santai di Pangkalan Nelayan Kuala Chenang di sini, petang ini.

Turut hadir, Pengerusi Bersatu Kedah Datuk Suhaimi Abdullah dan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuah, Ahmad Pared Mahamud.

Muhyiddin berkata, pilihan raya adalah teras kepada amalan demokrasi dalam negara untuk memilih pemimpin dan kerajaan.

"Kalau jumlah yang keluar mengundi semua kawasan ramai pada PRU-15 lalu, kita yakin PN sudah boleh tubuh kerajaan Pusat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 10:02 PM