Audrey Dermawan


George Town: Pulau Pinang tidak bercadang untuk mengisytiharkan cuti umum sekiranya gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memenangi pilihan raya negeri.

Ketua Menteri sementara Chow Kon Yeow berkata walaupun PH yakin dapat memperoleh 30 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, tiada cuti umum akan diberikan.

"Saya tidak bercadang untuk memberi cuti umum sekiranya gabungan PH-BN menang di Pulau Pinang," katanya selepas melawat beberapa pusat mengundi di sini hari ini.

Chow terlibat dalam pertarungan dengan H'ng Khoon Leng dari Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Dun Padang Kota, yang dipegangnya sejak 2008.

Chow berkata untuk memastikan sasaran tercapai (memenangi 30 kerusi), beberapa faktor perlu diambil kira, termasuk peratusan keluar mengundi.

"Selain peratusan keluar mengundi yang tinggi, pengundi PH-BN mesti menyokong setiap calon yang bertanding bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka," katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk tidak mengisytiharkan hari ini sebagai cuti umum untuk keluar mengundi memandangkan tarikh hari ini adalah hari cuti bagi kebanyakan pekerja.

Chow Kon Yeow. - FOTO NSTP
Chow Kon Yeow. - FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 11:19 AM