Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
Alias Abd Rani


Muar: Peratusan keluar mengundi rendah dalam kalangan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu atau Pilihan Raya Umum (PRU) menyebabkan beberapa kerusi sepatutnya dimenangi Perikatan Nasional (PN) gagal dirampas.

Mengambil contoh senario ketika PRN di enam negeri bulan lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, paling ketara di Selangor apabila hanya 71 peratus pengundi Melayu mengundi menyebabkan PN hampir menang di tujuh kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, gabungan itu sepatutnya boleh membentuk kerajaan di Selangor jika peratusan pengundi Melayu mencecah 80 peratus dan ke atas.

Tapi malang katanya, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hanya 71 peratus pengundi Melayu keluar mengundi ketika itu.

"Kalau dipecahkan undi Melayu yang keluar mengundi, mungkin kurang daripada peratusan itu. Situasi ini menyebabkan tujuh kerusi yang sepatutnya PN boleh menang tapi tewas.

"Dari segi majoriti keseluruhan diperolehi di tujuh kerusi itu, mereka (Pakatan Harapan) menang hanya 13,000 undi. Kalau kita dapat lebih 7,000 undi lagi, kita boleh menang bukan setakat tujuh malah lebih daripada itu untuk membentuk kerajaan negeri.

"Tetapi kita kalah di tujuh kerusi yang diperlukan untuk menggenapkan 29 kerusi bagi membolehkan PN membentuk kerajaan di Selangor.

"Inilah contoh yang nyata berlaku apabila kegagalan orang Melayu keluar beramai-ramai mengundi walaupun sudah berkali-kali pilihan raya sama ada PRU, PRN atau PRK," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega PN di Markas PAS Simpang Jeram malam tadi.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya.

Justeru, Muhyiddin mengingatkan pengundi Melayu supaya keluar mengundi bagi membolehkan kemenangan kepada PN terutama di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 10:44 AM