SENARIO enam negeri yang menghadapi PRN kekal dengan status quo membolehkan pelabur pasaran modal memberi tumpuan semula kepada asas pelaburan mereka.
SENARIO enam negeri yang menghadapi PRN kekal dengan status quo membolehkan pelabur pasaran modal memberi tumpuan semula kepada asas pelaburan mereka.

Kuala Lumpur: Tamatnya ketidaktentuan politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir Sabtu lalu adalah petanda baik kepada pasaran saham.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Alexander Chia berkata, senario enam negeri yang menghadapi PRN kekal dengan status quo membolehkan pelabur pasaran modal memberi tumpuan semula kepada asas pelaburan mereka.

"Sejajar dengan senario kes asas kami, enam pilihan raya negeri melabuhkan tirai pada hujung minggu lalu dan menyaksikan status quo dikekalkan apabila gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) membentuk kerajaan di negeri pantai barat iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Dengan 'Gelombang Hijau' yang disangka berlaku hanyalah sekadar riak-riak kecil, kami percaya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki banyak kesempatan untuk melaksanakan agenda reformasi yang dijanjikan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menurutnya, walaupun keputusan keseluruhan PRN-15 menepati jangkaan, pemeriksaan lanjut pada keputusan menghasilkan intipati bahawa PH-BN kekalkan pemerintahan di negeri-negeri pantai barat dengan majoriti yang mengecil.

"Dua pertiga majoriti di Selangor hilang selain Perikatan Nasional (PN) menembusi lebih banyak kerusi di kawasan bandar pantai barat dan mengukuhkan pengaruhnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu, i

"Ia juga menunjukkan bahawa kedudukan UMNO terjejas di mana ia menang hanya 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan dan ditewaskan sepenuhnya di Terengganu dan Kedah.

"Selain itu, kredibiliti kepimpinan UMNO bakal dipersoalkan di mana sebarang perubahan akan memberi kesan terhadap kestabilan pakatan kerajaan perpaduan," katanya.

Menurutnya, meskipun sesetengah keputusan dapat dikaitkan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah dan isu pemindahan undi antara penyokong-penyokong kerajaan gabungan, keupayaan pakatan kerajaan perpaduan untuk meraih sokongan daripada komuniti Melayu akan menjadi isu utama bagi Pilihan Raya Umum Ke16 (PRU-16).

"Pentadbiran Anwar masih punya masa untuk menambat hati pengkritiknya, tetapi hal ini akan bergantung pada pelaksanaan rancangan Ekonomi Madani yang berkesan sepanjang baki penggal pentadbirannya," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya keputusan pilihan raya memberikan kesempatan politik buat Pentadbiran Anwar untuk menyempurnakan agenda reformasi yang dijanjikan.

"Usaha-usaha ini perlu menyertakan langkah untuk mengimbang semula bil subdisi, menambah baik keadaan kewangan sektor awam, memperkenalkan reformasi politik, menarik pelaburan asing baharu, meningkatkan daya saing dan memacu fasa pertumbuhan seterusnya.

"Penyampaian mesej awam yang berkesan, pengurusan jangkaan pasaran dan pelaksanaan agenda reformasi yang stabil adalah faktor-faktor kritikal.

"Pencapaian jangka dekat untuk dinanti-nantikan termasuklah Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara Fasa 2 (akhir Ogos), semakan pertengahan penggal bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (September) dan pembentangan Belanjawan 2024 pada bulan Oktober," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 7:01 AM