Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program santai Petang di The Payang Scout Hotel. FOTO GHAZALI KORI
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program santai Petang di The Payang Scout Hotel. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Zaid Salim


Chukai: Sikap ambil ringan dan mudah dengan berpendapat tidak perlu keluar mengundi kerana yakin parti yang disokong akan menang perlu diubah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat segelintir pengundi berfikiran sedemikian sekali gus mensia-siakan hak mereka untuk memilih kerajaan.

Justeru, beliau mengingatkan mereka yang layak supaya keluar menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini

'

"Pertama, kita nak supaya seberapa ramai mungkin pengundi keluar, itu (yang) saya ulang selalu, jangan ada yang kata tak payah mengundi mesti menang dan sebagainya, sifat macam itu tak berapa baik (kerana) kita mahu supaya peratusan pengundi itu kalau banding dengan PRU (Pilihan Raya Umum) yang lepas lebih tinggi sampai ke 80 atau 90 peratus.

"Yang kedua (pengundi diingatkan untuk) baca manifesto (kerana) mungkin sebahagian besar tidak tahu apa manifesto, itu janji dan saya fikir Perikatan Nasional di semua negeri sudah melancarkan manifesto masing-masing, janji kita.

"Ketiga lihat apa yang kerajaan Pusat sudah buat (dan) di situ kita tahu kelemahan, kegagalan dan sebagainya dan jangan kita ulang lagi kalau kita terpilih yang lepas (ketika PRU yang lalu), ini masa kita betulkan balik supaya sokong kepada Perikatan Nasional," katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional di Padang Bola Bukit Kuang di sini, malam tadi.

Turut hadir, calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal, Senator Datuk Razali Idris.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 10:09 AM