CALON Pakatan Harapan, Pang Sock Tao bersama barisan kepimpinan tertinggi PH meraikan kemenangan mereka pada PRK KKB. FOTO Eizairi Shamsudin
CALON Pakatan Harapan, Pang Sock Tao bersama barisan kepimpinan tertinggi PH meraikan kemenangan mereka pada PRK KKB. FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sokongan pengundi Melayu dan India terhadap kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) masing-masing mencatatkan peningkatan tiga dan lapan peratus berbanding pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) tahun lalu.

Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE) Khairul Arifin Mohd Munir berkata pada PRN-15, PH memperoleh 39 peratus sokongan pengundi Melayu manakala PN pula menguasai 55 peratus undi.

Bagaimanapun pada PRK KKB Sabtu lepas katanya, 42 peratus pengundi Melayu mengundi PH iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus.

"PRK KKB mempunyai 16 Daerah Mengundi (DM), namun empat DM yang majoritinya orang Melayu, PH-BN menguasai kembali dua DM iaitu Kampung Air Jernih dan Pertak dengan masing-masing mencatat 49 dan 78 peratus sokongan dari kaum itu. Pada PRN lalu, PH kalah di kedua-dua DM tersebut.

"PH juga kekal menguasai DM majoriti pengundi Cina dengan tidak kurang daripada 70 peratus sokongan dan juga bagi DM kawasan campuran pelbagai kaum sementara PN kekal menguasai dua DM Melayu iaitu Bandar Utama Batang Kali dan Ampang Pecah," katanya dalam kenyataan hari ini.

IDE dalam kajiannya juga mendapati sokongan pengundi India kepada PH pada PRK KKB telah meningkat kepada 67 peratus berbanding 59 peratus pada PRN-15.

Khairul Arifin berkata, undi masyarakat Cina pula kekal utuh bersama PH dengan mencatatkan peningkatan daripada 84 peratus pada PRN15 kepada 87 peratus pada PRK KKB.

"Peningkatan sokongan yang ketara terhadap PH adalah di DM Pertak (46 peratus), Ladang Nigel Gardner (22 peratus), Kampung Air Jernih dan pengundi awal. Undi tentera dan polis yang membawa simbol penjawat awam telah beralih kepada PH kerana mungkin pemberian bonus khas dan peningkatan skim perkhidmatan awam yang memberikan impak positif kepada mereka," katanya.

Peningkatan sokongan itu katanya, didorong keberhasilan gerak kerja BN dalam menarik semula sokongan pengundi Melayu di kampung-kampung tradisi disebabkan kembalinya kepercayaan pengundi tegar BN terutama mereka yang berumur 61 tahun ke atas.

"Manakala bagi PN pula undi Melayu adalah kerana faktor calon Melayu yang diletakkan berbanding calon Cina pada PRN15 yang lalu. Naratif calon Cina-DAP yang dimainkan oleh PN juga turut memberi kesan kepada undi Melayu kepada PN," katanya.

Dari segi pola pengundian umur, Khairul Arifin berkata, PN menguasai undi bagi kategori yang berusia 40 tahun ke bawah manakala PH-BN bagi usia 41 tahun ke atas.

Bagi mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, Cina dan India, beliau berkata, PH-BN perlu membela nasib Melayu dan Islam kerana faktor orang Melayu menyokong PN adalah disebabkan parti itu kelihatan lantang membela nasib orang Melayu berbanding parti lain.

"Isu semasa seperti harga barang, peluang pekerjaan dan kos hidup juga perlu diselesaikan Kerajaan Perpaduan untuk menarik sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16)," katanya.

Sementara itu Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin ketika dihubungi Bernama menyifatkan 'politik kesederhanaan' dibawa Kerajaan Perpaduan pada PRK KKB dilihat antara faktor kejayaan kerjasama PH-BN memenangi hati rakyat.

Ini kerana katanya, pendekatan kesederhanaan membawa perubahan positif dalam landskap politik tanah air hasil penekanan terhadap politik inklusif, kesepaduan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat serta tidak lagi menjurus kepada isu-isu sempit seperti 3R (raja, agama dan kaum).

PRK Kuala Kubu Baharu pada Sabtu lalu menyaksikan calon PH, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 10:38 PM