AHMAD Zahid berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani di Barisan Nasional  Command Centre, Batang Merbau, malam tadi. FOTO Bernama.
AHMAD Zahid berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani di Barisan Nasional Command Centre, Batang Merbau, malam tadi. FOTO Bernama.
Hidayatidayu Razali dan Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan potongan premium tanah ditawar sehingga 70 peratus untuk rakyat Kelantan.

Katanya, jumlah itu berbanding 50 peratus yang diumum dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, beliau mahu tawaran itu dipertimbangkan untuk memberi kemudahan serta membantu rakyat Kelantan.

"Saya beritahu wakil rakyat yang mewakili BN dan PH, cukai ini bukan saja turun sebanyak 50 peratus tetapi diskaun turunlah kepada 70 peratus.

"Jika sekarang, pembinaan rumah baru di Kelantan, mereka dikenakan bayaran RM9,000 bagi satu lot. Insya-Allah potongan akan diberikan sebanyak 50 peratus jika Kerajaan Perpaduan diberi mandat di Kelantan.

"Begitu juga cukai pintu, cukai tanah yang akan diturunkan sebanyak 50 peratus. Kalau boleh potongan diberikan sebanyak 70 peratus untuk buat rumah, cukai pintu dan cukai tanah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Jalan Kebun Sultan di sini, malam tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Umno itu berkata, potongan premium tanah itu diyakini memanfaatkan rakyat Kelantan dalam memiliki rumah dan tanah.

"Biar kita tidak dapat pendapatan dari cukai tanah ini tetapi bila pelaburan banyak masuk di Kelantan, kita akan dapat cukai daripada industri," katanya.

Selain potongan cukai premium tanah, penyediaan parkir percuma di semua daerah juga antara 34 tawaran manifesto yang menarik perhatian rakyat Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 1:08 AM