Datuk Mohd Nassuruddin Daud (kiri) dan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
Datuk Mohd Nassuruddin Daud (kiri) dan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Datuk Mohd Nassuruddin Daud dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu esok.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta itu dijadualkan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri, Kubang Kerian jam 3.30 petang.

Mohd Nassuruddin adalah calon yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Pada masa sama, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan pula akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan selain sembilan barisan EXCO.

Fadzli adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi yang memenangi kerusi DUN Temangan.

Difahamkan, daripada sembilan barisan EXCO yang akan mengangkat sumpah esok, lima daripadanya adalah calon baharu termasuk seorang daripada wakil BERSATU.

Pada PRN Sabtu lalu menyaksikan PAS mengekalkan pemerintahaan kerajaan selepas memenangi 43 kerusi daripada keseluruhan 45 kerusi DUN.

From: Fazlina

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 11:59 PM