ISTANA Negeri, Kubang Kerian. FOTO Arkib NSTP.
ISTANA Negeri, Kubang Kerian. FOTO Arkib NSTP.
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Kelantan antara sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan, hari ini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini, 5.50 petang hari ini.

Sembilan Exco berkenaan terdiri daripada Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman yang juga Adun Kemahang, Datuk Dr Izani Husin (Kijang), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Selising) dan Wan Roslan Wan Hamat (Pengkalan Kubor).

Selain itu, turut mengangkat sumpah Rohani Ibrahim (Tanjong Mas), Mohd Asri Mat Daud (Demit), Zamakhshari Mohamad (Apam Putra), Hilmi Abdullah (Guchil) dan Datuk Kamaruddin Md Noor (Ayer Lanas).

Lima daripada senarai itu adalah calon baharu iaitu Rohani, Mohd Asri, Zamakhshari, Hilmi dan Kamaruddin.

Manakala, Exco yang dilantik semula adalah Md Anizam, Dr Izani, Tuan Mohd Saripudin dan Wan Roslan.

Kamaruddin adalah wakil tunggal daripada Bersatu yang membarisi barisan Exco dan Rohani pula wakil tunggal wanita.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, PAS memenangi 43 kerusi daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala dua dimenangi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 6:21 PM