TANGKAP layar video tular cubaan penunggang motosikal meragut seorang lelaki.
TANGKAP layar video tular cubaan penunggang motosikal meragut seorang lelaki.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Polis memburu seorang lelaki disyaki cuba meragut rantai daripada seorang warga emas di laluan masuk Pangsapuri Angsana, Taman Raintree di Batu Caves, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian jam 12.08 tengah hari itu, suspek bertindak menahan motosikal ditunggangi lelaki berusia 71 tahun semasa tiba di hadapan pondok pengawal.

"Mangsa ditahan oleh suspek seorang lelaki bangsa tidak pasti yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna biru/hitam yang berpura-pura bertanya sesuatu kepada mangsa.

"Semasa berbual suspek bertindak menarik rantai emas milik mangsa tetapi tidak berjaya dan suspek terus melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak polis turut mengesan rakaman video memaparkan kejadian itu yang mula tular di media sosial hari ini.

Katanya, usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan atau hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Adiba Mohamad Nordin melalui nombor talian 03-61262222/ 012-8819215," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 5:53 PM