LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang memiliki 14 rekod lampau dipercayai terbabit cubaan menyamun sebuah kedai runcit di Jalan Raja Musa, Kampung Baru, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa jam 12.08 tengah hari.

"Terdahulu, polis mengatur gerak pasukan untuk mengesan lokasi kejadian selepas terkesan satu video tular di media sosial X memaparkan kejadian itu jam 11 pagi sebelum laporan diterima.

"Pada 12.08 tengah hari, mangsa tampil membuat laporan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek yang juga seorang penganggur ditahan di tepi Jalan Datuk Abdullah Yasin, Kampung Baru, di sini jam 2.54 petang bersama sebilah parang sepanjang 46 sentimeter (cm).

Katanya, hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 46 tahun itu berada di bawah pengaruh dadah yang diuji positif penggunaan amfetamin dan metamfetamin.

"Permohonan reman ke atas suspek akan dilakukan esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan polis sedang mengenal pasti lokasi kejadian samun kedai runcit yang didakwa berlaku di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini, yang tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 9:09 PM