TANGKAP layar video tular lelaki tampar bekas kekasih. FOTO tular
TANGKAP layar video tular lelaki tampar bekas kekasih. FOTO tular
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan kejadian seorang wanita ditampar seorang lelaki di berada dalam sebuah kereta seperti dalam satu klip video yang tular, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Nor Ariffin Mohamad Nasir, berkata siasatan dijalankan selepas video berdurasi 22 saat itu dikesan tular di media sosial.

"Siasatan mendapati kes kejadian yang tular itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang, Isnin lalu di sebuah lokasi di Gombak.

"Pengadu atau mangsa dalam kes ini adalah seorang wanita berusia 21 tahun menyatakan ditampar oleh bekas teman lelakinya, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Ariffin, berkata mangsa ditampar selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (sengaja menyebabkan kecederaan).

"Orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan polis," katanya.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Adiba Mohamad Nordin di talian 012-8819215 atau Ibu pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Klip video yang tular itu dipercayai dirakam secara rahsia oleh mangsa ketika dia dikasari oleh lelaki berkenaan di dalam sebuah kereta.

Menurut kapsyen bersama video berkenaan yang dimuat di laman X (dahulu Twitter), suspek adalah seorang penuntut sebuah universiti awam.

Mangsa dikatakan meminta bantuan suspek menghantarnya ke klinik kerana sakit namun setelah selesai urusan di klinik, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum mangsa ditampar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 11:50 AM