BARANGAN kemas dan telefon bimbit yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
BARANGAN kemas dan telefon bimbit yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Tindakan tiga lelaki menyamun rumah di Taman Sri Gombak, Batu Caves, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian 3.30 petang Isnin lalu, lelaki berusia 52 tahun memaklumkan rumahnya dipecah masuk dua lelaki memakai topi keledar.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya isteri dan anaknya berada di rumah.

"Salah seorang suspek mengacukan sebilah pisau ke leher isterinya danmemaksa mangsa membuka peti keselamatan.

"Suspek mengambil barangan kemas iaitu empat rantai, tiga cincin, empat pasang subang, dua gelang tangan, tiga rantai tangan, dua loket, sebuah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,000 dan mata wang asing berjumlah AS$500 (RM2,051) membabitkan kerugian RM40,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah,Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 21 tahun disyaki terbabit dalam kejadian ini.

"Mereka ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar Gombak dan Hulu Selangor bersama barangan samun dipercayai milik mangsa.

"Suspek direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatanmengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan

"Siasatan lanjut masih lagi diteruskan untuk mengesan rakan sejenayah yang

masih bebas dan mengenalpasti pembabitan kumpulan ini di dalam kes lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 11:38 AM