GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Gombak: Beberapa anggota polis yang bertugas ketika sekatan jalan raya di kawasan Batu 7, Jalan Gombak Lama, di sini, sudah dirakam keterangan berikutan tular rakaman suara di Twitter berkaitan salah laku pemerasan meminta wang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, Rabu lalu, Polis Daerah Gombak mengesan tular satu kenyataan akaun Twitter yang berkongsi salah laku anggota polis.

Beliau berkata, pemilik akaun NURATIKAHROSE memuat naik beberapa rakaman suara rakannya dipercayai seorang warga Palestin ketika ditahan polis di satu sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Gombak Lama.

"Mangsa ditahan polis di sekatan jalan raya itu dan ketika pemeriksaan dibuat, dikatakan seorang daripada anggota yang bertugas meminta wang atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen diri yang sah.

"Berikutan kejadian, polis sudah merakam keterangan beberapa anggota polis yang bertugas semasa sekatan jalan raya itu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti anggota yang terbabit dalam rakaman suara yang sudah tular dalam Twitter itu.

Katanya, polis juga dalam usaha mengesan pemilik akaun yang menggunakan nama NURATIKAHROSE dan mangsa yang dipercayai seorang warga Palestin bagi membantu siasatan.

"Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Abdul Aziz Sulaiman di talian 03-61262222/ 016-7185750," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 7:05 PM