Mohamed Farid Noh


Kulai: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, minggu depan.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya hanya menunggu isyarat daripada Pusat sebelum menyusun majlis pengumuman rasmi dua calon PN berkenaan.

"Setakat ini memang nama calon itu sudah ada, cuma kita tunggu Pusat memberi isyarat untuk PN Johor menyusun dan menyiapkan majlis pengumuman calon nanti.

"PN Pusat sudah bermesyuarat bagi memuktamadkan calon di dua kerusi berkenaan dan majlis pengumuman calon akan dibuat minggu depan oleh Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu.

"Lokasi dan tarikh akan kita umumkan dalam masa terdekat. Kita jangkakan pengumuman akan diadakan di kawasan Parlimen Pulai dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu Johor, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai calon PN bagi dua kerusi berkenaan, Dr Sahruddin yang juga Pengerusi Bersatu Johor berkata, setakat ini kedua-dua calon itu adalah anak tempatan.

"Kedua-dua calon berkenaan juga adalah golongan profesional dan dikenali di kawasan masing-masing.

"Namun kami masih menunggu isyarat lanjut daripada PN Pusat dan tidak boleh mendahului kepimpinan parti," katanya.

Sementara itu, Dr Sahruddin memaklumkan beliau dilantik menjadi Pengarah PRK Johor.

"Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Pengerusi Gerakan Johor, Teo Kok Chee pula masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengarah PRK Johor," katanya.

SAHRUDDIN mempengerusikan  mesyuarat PN bagi menghadapi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Pejabat PN Taman Scientex, Senai Kulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SAHRUDDIN mempengerusikan mesyuarat PN bagi menghadapi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Pejabat PN Taman Scientex, Senai Kulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 3:16 PM