LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, pada Rabu depan.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata pengumuman calon itu akan dibuat Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijangka turut hadir pada majlis pengumuman calon berkenaan.

Katanya, ia akan dibuat selepas program berskala besar antara PH dan Barisan Nasional (BN) Johor yang akan berlangsung di kawasan Simpang Jeram, Muar.

"Dua calon PH bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sudah dimuktamadkan Amanah Pusat dan akan diumumkan pada 23 Ogos atau Rabu depan.

"Ia akan diumumkan Presiden Amanah dan Menteri Besar, pada sebelah malam di Pusat Khidmat Adun Simpang Jeram, di Taman Sri Kasih Muar.

"Pengumuman itu menyusul selepas beberapa program khas di Simpang Jeram yang disusun khas termasuk Program Menteri Besar dengan Umno Bakri serta tahlil Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di sebuah masjid berhampiran Simpang Jeram," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat tertutup PH-BN Johor, di Bangunan Umno Johor, hari ini.

Terdahulu mesyuarat tertutup PH-BN Johor itu berlangsung kira-kira satu jam setengah.

Hadir sama, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi BN Johor serta Pengerusi Umno Johor, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi Amanah, Suhaizan Kaiat.

Ditanya mengenai dua calon yang diputuskan Amanah Johor, Aminolhuda yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah Johor berkata, kedua-dua calon berkenaan adalah anak tempatan dan anak Johor.

"Kedua-duanya juga adalah calon muka baharu di dua kawasan itu selain berpendidikan tinggi serta memiliki Ijazah Sarjana.

"Siapa dua calon itu kena tunggu pengumuman Rabu depan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno berkata, BN Johor memberi jaminan akan membantu gerak kerja dan jentera menyokong dua calon diturunkan PH di dua kerusi itu.

"Ketetapan kita, mana-mana parti yang dulu menyandang jika berlaku kekosongan mana-mana kerusi, maka parti itu akan menggantikannya.

"BN serta Umno sedia maklum memang PH menyandang di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, maka sebab itulah pada PRK kali ini ia akan diwakili calon PH.

"BN terutamanya Umno sebagai parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan akan bersama-sama bantu jentera PH di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sebagai anggota yang membentuk kerajaan Persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 6:17 PM