SUHAIZAN. FOTO arkib NSTP
SUHAIZAN. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat diumum sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pulai manakala Nazri Abdul Rahman calon di DUN Simpang Jeram mewakili Pakatan Harapan (PH) pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan.

Presiden parti Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu yang mengumumkan perkara itu berkata, kedua-dua mereka adalah daripada parti Amanah dan akan bertanding mempertahankan kedua-dua kerusi milik parti itu.

Beliau berkata, pemilihan kedua-duanya dimuktamadkan selepas mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada Jawatankuasa Pemilihan Calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang bermesyuarat pada 15 dan 17 Ogos lalu.

"Calon-calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Ogos nanti di DUN Simpang Jeram," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan, 50, adalah Setiausaha Politik kepada Allahyarham Salahuddin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Allahyarham adalah penyandang kepada kedua-dua kerusi itu.

Pada 3 Ogos lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 9 September.

Suhaizan adalah Naib Pengerusi Amanah Johor, Ketua Amanah Kawasan Pulai, dan pernah menjadi Speaker DUN Johor bagi tempoh 2018 sehingga 2020, manakala Nazri, 56, bekerja sebagai jurutera Majlis Perbandaran Muar selama 30 tahun dan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 11:26 AM