FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Lapan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram dibeli setakat hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaimon berkata, dua daripada borang itu membabitkan PRK Parlimen Pulai, manakala enam lagi membabitkan Dun Simpang Jeram, Muar.

Menurutnya, seorang calon bagi PRK Dun Simpang Jeram juga sudah membuat pembayaran deposit.

"Persiapan SPR bagi kedua-dua PRK itu pada tahap 80 peratus dan akan bersedia sepenuhnya dalam beberapa hari ini.

"Pelaksanaan PRK Parlimen Pulai akan membabitkan seramai 2,674 petugas, manakala PRK Dun Simpang Jeram pula membabitkan seramai 674 petugas," katanya pada Program Taklimat SPR Bersama Petugas Media, di sini, hari ini.

Berdasarkan semakan setakat 23 Julai lalu, seramai 166,653 individu layak mengundi di Parlimen Pulai, manakala di Dun Simpang Jeram pula membabitkan seramai 40,379 pengundi.

Sebelum ini, SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram pada 26 Ogos, dengan pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September ini.

PRK itu diadakan ekoran kekosongan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 4:46 PM