Mohamed Farid Noh dan Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Perikatan Nasional mempertaruhkan calon muka baharu dan berpengalaman untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram, 9 September ini.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai, Zulkifli Jaafar, 50, pertama kali dipilih mewakili gabungan itu di Parlimen Pulai, sementara Dr Mohd Mazri Yahya yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat serta Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor diumum calon Dun Simpang Jeram.

Pengumuman dua calon itu dibuat Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis hari ini yang turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

Zulkifli yang juga usahawan kelahiran Tampoi ketika ditemui berkata, walaupun pertama kali menjadi calon pilihan raya, beliau mempunyai fokus tersendiri dalam berkhidmat kepada rakyat.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menjadi calon dan fokus saya hanya kepada rakyat dan meminta semua penduduk Pulau memberi sokongan pada saya untuk membawa mandat mereka," katanya.

DR Mohd Mazri (kiri) diumum calon PN bagi DUN Simpang Jeram, manakala Zulkifli sebagai calon Parlimen Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
DR Mohd Mazri (kiri) diumum calon PN bagi DUN Simpang Jeram, manakala Zulkifli sebagai calon Parlimen Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Dr Mohd Mazri, 54, yang juga Pakar Bedah Vaskular dan Endovaskular pula pernah bertanding di kerusi Dun sama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, beliau berbelah bahagi untuk bertanding lagi namun, menerima pencalonan itu dan menyahut cabaran atas dasar tanggungjawab kepada parti.

"Sebenarnya saya tiada niat hendak bertanding pilihan raya, tetapi sebagai Ahli Pas dan AJK Pas Pusat, saya telah diarahkan oleh pimpinan parti untuk bertanding.

"Saya akan cuba sempurnakan amanah ini," katanya yang mengakui pertaruhan kali ini berbeza berbanding PRU14 dan berharap perbezaan suasana itu dapat mengekalkan momentum PN di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 6:23 PM