Mohamed Farid Noh


Kulai: 'Gelombang hijau' Perikatan Nasional (PN) yang digembar-gembur Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya adalah gelombang rakyat yang dipandang rendah sebelum ini.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, terma 'gelombang Hijau' itu digunakan hanya untuk menakut-nakutkan golongan bukan Melayu terhadap PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.

"Bagi PN Johor, ini kebangkitan gelombang rakyat bukan gelombang hijau yang dicipta bagi menakutkan golongan bukan Melayu

"Rakyat serta pengundi di Johor terutama di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram bijak dan akan menilai sendiri pilinan mereka pada PRK, 9 September nanti.

"Gelombang rakyat terhasil kerana rakyat menolak pemimpin kleptokrasi, yang cakap lain buat lain serta pemimpin sentiasa berpolitik sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat BERSATU Johor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata, kemenangan di DUN Simpang Jeram pada PRK cukup penting walaupun PN Johor kini hanya memiliki tiga kerusi di DUN Johor.

"Kita fokus menjadi pengimbang kerajaan negeri lebih kuat di DUN Johor dengan kemenangan di DUN Simpang Jeram pada PRK nanti.

"Bagi Parlimen Pulai pula, kita mahu menjadipembangkang lebih kukuh supaya kita dapat mengimbangkan sebarangkeputusan yang dibuat Kerajaan Perpaduan di Parlimen.

"Walaupun laluan PN di Parlimen Pulai agak sukar kerana PH menang dengan majoriti besar, namun kami akan memberikan tentangan kuat dan bersungguh-sungguh" katanya.

PN mempunyai tiga kerusi di DUN Johor iaitu DUN Bukit Kepong diwakili Datuk Dr Sahruddin Jamal (BERSATU); DUN Endau (Alwiyah Talib- BERSATU) dan DUN Maharani (Abdul Aziz Talib- PAS).

SAHRUDDIN (duduk, tengah)  ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perikatan Nasional bagi menghadapi PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SAHRUDDIN (duduk, tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perikatan Nasional bagi menghadapi PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 3:36 PM