GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Kurang tiga jam masa diambil lelaki ini untuk memecah masuk dua kedai serbaneka di daerah Seremban pada Ahad lalu, sebelum melarikan wang tunai dianggarkan berjumlah RM25,000.

Bagaimanapun, penyamun yang memiliki 11 rekod jenayah dan masih dalam senarai dikehendaki polis itu tumpas apabila ditahan di Rawang, Selangor, 8.40 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pada 13 Ogos lalu pihaknya menerima dua laporan masing-masing daripada dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun, iaitu penyelia kedai serbaneka di Senawang dan Bandar Seremban.

"Mereka mendakwa pintu utama premis dipotong dan mendapati peti besi yang terletak di dalam kedai ditebuk dan wang tunai didalamnya lesap..

"Anggaran kerugian masing-masing RM17,000 dan RM8,000.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku dari jam 5 hingga 7.30 pagi pada hari sama," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban berjaya mengesan dan menahan suspek iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun di Rawang, 8.40 pagi.

"Polis juga merampas sebuah kereta Toyota Vios serta pelbagai peralatan pecah rumah disyaki digunakan dalam kejadian berkenaan.

"Beberapa barang kes hasil pecah kedai turut ditemui dalam milikan suspek. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah dan dua rekod masih dikehendaki," katanya.

Arifai berkata, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Dengan tangkapan suspek ini, kami percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah kedai di kawasan Seremban dan satu kes curi kenderaan di Klang, Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 8:41 PM