GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

POLIS memberkas enam lelaki tempatan yang disyaki terbabit melakukan samun bersenjata di sebuah asrama pekerja kilang di kawasan industri Rawang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 24 hingga 61 tahun terbabit ditahan dalam beberapa serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sekitar Bandar Country Homes, Rawang bermula 3 petang semalam.

"Polis merampas 14 telefon bimbit, lima motosikal serta dua bilah parang yang digunakan untuk melakukan samun.

"Lima suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penangkapan enam lelaki tersebut turut menyelesaikan tiga kes samun jalanan di sekitar Rawang dan Country Homes.

"Polis sedang mengenal pasti pembabitan suspek ini dalam kes lain," katanya.

Arifai berkata kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 11:32 PM