ANTARA barang yang dirampas dalam tangkapan dua lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian pecah sebuah rumah di Bandar Country Homes, Rawang, semalam.
ANTARA barang yang dirampas dalam tangkapan dua lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian pecah sebuah rumah di Bandar Country Homes, Rawang, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


TIDAK sampai 24 jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Bandar Country Homes, Rawang, dua lelaki ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penghuni rumah itu yang memberitahu melihat kelibat suspek menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kira-kira 1 pagi.

"Hasil siasatan dilakukan kami menahan seorang suspek yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Fasa 10 Bandar Country Homes pada 6.30 petang, hari sama.

"Susulan tangkapan itu, kami menahan seorang lagi suspek di Flat Palma Bandar Country Homes satu jam kemudian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya turut merampas barangan peribadi suspek, komputer riba dan pengecas mudah alih dalam tangkapan itu.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 35 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek direman bermula hari ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 3:29 PM